HANTU ASRAMA 1
Kisah ni
berlaku pada sebuah sekolah berasrama penuh di kawasan pantai timur...
bukan aku la yang kena, aku pun dengar cerita je. Ceritanya macam
ni....... kat asrama pompuan... ada la sorang budak pompuan ni yang
rajin study sampai memalam buta kat bilik prep dia. Satu malam tu dia
tak sedar yang dia dah tinggal sorang kat bilik study tu. Dia pun
study la dengan khusyuknya... sampai satu part dia tak paham, dia nak
tanya la kat 'member' dia yang kat sebelah tu... dia tak sedar lagi
benda tu bukan orang.... masa dia nak tanya tu matanya terpandang kat
bawah meja budak ni, dia perasan 'member' tu takde kaki. Peh tu dia kata
"Takpe la, dah ingat camna nak buat," lebih kurang camtu la dia cakap
sambil berkira-kira nak blah secepat mungkin. Yang 'member' tu lak kata
"Dah ingat ke dah tahu....????" maksudnya dah tahu ke yang dia tu
hantu... budak ni terus lari balik dorm dia.... Bila dia cerita kat
senior, ada yang cerita dulu ada sorang budak pompuan ni yang mati bunuh
diri sebab tension belajar masa nak ambik SPM. Mungkin tu la hantu dia yang
still study tak abih-abih.... Lepas tu budak ni pun dah tak study
sampai lewat malam lagi... Takoot siottt..... Korang caya tak? Kalau tak
caya terpulanglah.......
Sekian dari aku yang banyak cerita hantu ni.... Nanti aku hantar lagi cerita kalau assignment aku siap, kay?? Wassalam....
HANTU ASRAMA 2
Kali
ni aku nak cerita pasal kisah hantu di hostel sebuah universiti
tempatan. Idak ler seram sangat sampai hantu tu menunjuk muka... tapi
kira cara halus ni la yang buat orang bertambah suspen. Ceritanya pendek
jer... benda ni berlaku kat hostel perempuan.. masa tu girlfriend kawan
aku baru balik discussion. Biasa la.. budak U. Malam tu room mate dia takde,
buat assignment ngan kengkawan dia yang lain. Dia dah tak kisah dah
sebab dah biasa kena tinggal. Entah kenapa malam tu dia terasa mengantuk
sangat padahal waktu tu kira masih awal untuk dia tidur. Dia tidur kat
katil tingkat atas. Dia tidur katil double decker, kat tingkat atas.
Biasanya kalau dalam bilik tuh dia la operator telefon... sebab biasanya
ramai yang tukang telefon dia... Petang tu dia ada la buat panggilan.
Okay jek... Esoknya bila dia bangun, dia tengok atas meja gagang telefon
dia dah tercabut. Dia ingat room mate dia tak boleh tido sebab telefon
selalu berdering peh tuh cabut gagang telefon. Tapi pelik la jugak..
biasanya orang kalau nak cabut pun dia cabut wayar belakang, tapi
nih cabut wayar gagang telefon. Ah, lantak la.. dia fikir. Lepas tu room
mate dia masuk. Baru balik. Dia tanya la kenapa kawan dia tu cabut
wayar gagang telefon. Kawan dia terkejut sebab dia baru balik dari bilik
kawan yang satu course ngan dia. Dia tidur kat sana. Yang minah nih
terkejut la... sapa pulak yang cabut wayar gagang telefon nih? Nak kata dia
tak kunci bilik... bilik diorang nih memang takleh bukak dari luar...
unless kalau ada kunci. Nak kata dia mengigau..... dia la yang paling
rajin nak angkat tipon.. lagi pun takkan dia boleh terfikir nak cabut
wayar gagang telefon... (gagang telefon terletak jauh dari telefon dan
dalam keadaan terlentang). Paling tidak angkat gagang telefon letak
tepi atau cabut wayar telefon tu sendiri. Aku tak tau la benda apa yang
mengganggu dia... tapi dah dua kali dia alami benda yang sam sejak baru
bukak semester kedua nih.
ASRAMA
Assalamualaikum.....Sebenarnya
aku dah lali dengan cerita-cerita seram ni. Tapi untuk tatapan dan
renungan kita semua aku gagahkan diri untuk ceritakan satu daripada
beribu-ribu pengalaman ngeri untuk ruangan Xpoi ini.
Kisah ini
berlaku kira-kira lima tahun yang lalu. Waktu itu aku ditingkatan dua
dan tinggal di asrama. Aku ni terkenal dengan sifat yang tak reti takut.
Memang sejak kecil lagi aku telah diajar oleh ayahku untuk tidak takut
pada hantu. Menurut ayah ku..." Hantu dan syaitan ni nak pegang kita pun
tak dapat inikan pula nak cubit.." Itulah kata-kata ayahku yang
membuatkan aku berani sehingga kini walaupun pada hakikatnya aku seorang
perempuan yang lemah lembut.
Sekolah aku
terletak di sebuah kawasan yang boleh dikatakan indah dan nyaman.
Lagipun di situ kawasan kampung. Asrama yang aku duduki berada di dalam
kawasan sekolah. Jadi senanglah untuk kami pelajar pelajar asrama untuk
berulang alik. Kebetulan pada semester tersebut pihak sekolah aku
bercadang untuk menambahkan lagi satu blok asrama untuk menampung
bilangan pelajar yang kian meningkat. Jadi setelah dipersetujui,
Akhirnya kerja-kerja membina pun dilakukan bersebelah dengan blok asrama
puteri yang lama.
Pada mulanya pembinaan itu berjalan dengan lancar sehinggalah suatu hari.......
Petang itu
aku pulang daripada sekolah kira-kira jam 3 petang bersama-sama empat
kawan ku yang lain. Setelah menyalin pakaian, kami bercadang untuk
bermain tenis di gelangang yang berdekatan. Sewaktu kami menuruni tangga
untuk ke gelangang berkenaan tiba-tiba kami terdengar suara lelaki
sedang menjerit dan diikuti dengan dentuman yang kuat. Kami dapat
mengesan arah bunyi tersebut. Tak silap lagi ianya datang dari arah
tapak pembinaan asrama baru. Kami segera bergegas ke sana. Setibanya di
situ kami terkejut besar apabila kami dapati seorang pekerja berbangsa
Cina telah jatuh dari bangunan tesebut. Kawan-kawan pekerja tersebut
segera mendapatkan beliau. Aku dan kawan-kawanku tergamam. Tubuh pekerja
berkenaan dibasahi dengan darah. Aku yakin dia telah mati memandangkan
keadaan kepalanya yang bercerai dari badan. Kawanku , Mila tiba-tiba
pengsan. Aku terpaku di situ.
Pada malam
tersebut kami tidak dapat tidur dengan nyenyak tambahan lagi kami adalah
orang pertama yang menyaksikan kejadian itu. Warden asrama menasihati
kami supaya bawa bertenang. Tetapi aku benar-benar tidak dapat melupakan
kejadian itu lebih-lebih lagi jika teringatkan keadaan tubuh mangsa
yang amat mengerikan. Malam makin larut. Aku cuba melelapkan mataku.
Tiba-tiba aku terdengar seperti ada sesuatu yang sedang menghampiriku.
Aku meluaskan pandangan kesekeliling. Mataku liar mencari benda
tersebut. Hidung ku mula terbau sesuatu yang hanyir. Darah! Aku
tersentak. Aku mendongak ke atas. Aku dapati darah mengalir dari kipas
siling. Banyak sekali ! Aku beranikan diri untuk bangun. Mata ku
tiba-tiba tertumpu ke arah kawanku Mila. Ya Allah, Aku lihat beberapa
orang berjubah kuning sedang mengelilinginya. Aku beranikan diriku untuk
menghampiri mereka. Kawan- kawanku yang sedorm sudah lama dibuai mimpi.
Dengan keyakinan aku menegur orang-orang yang berjubah kuning
berkenaan. " Siapa anda semua ?" Mereka tidak menjawab pertanyaan aku.
Aku mula syak sesuatu. Aku beranikan diri lagi dengan memegang salah
seorang daripada mereka. Tetapi... Tangan ku bolos. Ternyata mereka
tidak menghiraukan kedatangan aku. Aku terpinga.. Mereka bangun dari
katil Mila dan menuju ke tingkap yang bertentangan dengan tempat
kemalangan petang tadi. Aku dapat melihat dengan jelas mereka menembusi
dinding asrama dan terus melayang ke angkasa. Aku terpegun.
Tiba-tiba
lamunan aku tersentak apabila dikejutkan oleh suara kawanku Lin. Rupanya
bukan aku seorang yang menyaksikan peristiwa itu, Lin juga sempat
menyaksikannya. Lin kelihatan begitu takut, dia menanggis. Badannya
terasa panas dan menggigil. Aku cuba menenangkannya. Lin dapat juga aku
tenangkan. Lega rasanya bila dia kembali seperti sediakala. Kami
bercerita panjang tentang pengalaman masing-masing melihat peristiwa
yang berlaku tadi. Lin menyatakan padaku yang dia ternampak ada dua
orang lelaki berjubah kuning hendak memukul aku dengan Kayu Tas dari
arah belakang. Tetapi mereka tidak berjaya kerana dihalang oleh seorang
lagi lelaki berjubah kuning yang lain. Aku betul-betul terkejut. Aku
bertanyakan Lin samaada dia nampak atau tidak lelaki berjubah kuning
mengelilingi Mila. Dia jawab TIDAK. Aku semakin hairan. Bagaimana dua
peristiwa boleh berlaku dalam waktu yang sama tetapi berlainan keadaan.
Cuma ketika
lelaki-lelaki berjubah kuning itu melayang ke angkasa sahaja kami dapat
menyaksikan peristiwa yang sama. Angin malam semakin dingin. Suasana
semakin suram. Aku dan Lin masih tidak dapat tidur. Tiba-tiba....
"Aaaaaaaaaaaaaa....." Suara orang menjerit seperti diserang sesuatu
kedengaran dari tingkat atas asrama. Serentak dengan itu juga kedengaran
bunyi dentuman yang kuat dari arah yang sama.
Aku bergegas
keluar. Aku lihat penghuni penghuni yang lain juga tercengang-cengang di
luar dorm. Masing-masing tertanya apakah yang berlaku. Warden juga
kelihatan terpinga-pinga. Suara jeritan dan lolongan tadi semakin
menjadi-jadi. Kali ini bukan lagi seorang tetapi ramai. Aku semakin
ingin tahu.
Warden
meminta sesiapa yang berani untuk mengikutnya naik ke atas. Aku dan lima
orang lagi rakan mengikut warden naik ke atas. Setibanya kami di sana
kami dapati beberapa orang penghuni dorm Emas sedang merangkak di kaki
lima seperti biawak. Aku mengucap panjang. Kami cuba menangkap mereka
tetapi tidak berjaya kerana bilangan yang hendak ditangkap lebih banyak
dari yang menangkap. Warden mengarahkan penghuni yang tidak naik ke atas
untuk mendapatkan bantuan dari warden aspura.
Bantuan yang
diharapkan sia-sia sahaja kerana tidak seorang pun warden aspura yang
terjaga termasuklah penghuni aspura sendiri. Kami mula cemas. Bilangan
penghuni yang dirasuk semakin banyak iaitu kira-kira sebelas orang dan
bersamaan dengan satu dorm berkenaan. Mereka menjerit, melolong dan tak
kurang pula yang mengilai. Kami terpaksa mengepung mereka. Warden
mengarahkan supaya kami membaca apa sahaja ayat suci yang kami ingat
sambil mengawasi mereka.
Keadaan
semakin kelam kabut apabila ada yang dirasuk itu mula bertindak liar.
Mereka mula berlari menuruni tangga. kami tidak dapat berbuat apa-apa
lagi.Hendak ditangkap memang tidak berdaya. Kami tawakal kepada Allah.
Di bawah mereka mula mengoncangkan pagar yang memagari kawasan aspuri.
Warden meminta supaya kami beramai -ramai memegang mereka supaya mereka
tidak merobohkan pagar untuk lari keluar. Mereka meraung raung. Di saat
aku memegang salah seorang daripada mereka aku rasakan seperti tubuhku
digoncang dengan begitu kuat. Aku mula membaca Ayat Kursi. Kegilaannya
semakin menjadi jadi. Aku menempeleng muka budak berkenaan. Dia pengsan.
Menyedari perbuatan aku itu berkesan, kami beramai-ramai menempeleng
kesebelas belas penghuni berkenaan. Mereka pengsan. Seraya dengan itu
azan Subuh berkumandang dengan sayupnya.
Pagi itu
ramai di antara kami yang tidak ke sekolah kerana letih. Apabila di
tanya kepada penghuni yang dirasuk apa yang terjadi semalam, mereka
hanya menjawab mereka tidur dengan nyenyak sekali. Bila kami
menceritakan apa yang berlaku semalam mereka bagaikan tidak percaya.
Berita dirasuk beramai ramai sampai ke pengetahuan penghuni aspura.
Mereka juga terkejut kerana tidak seorang pun yang mendengar bunyi orang
menjerit.
Malam itu
kami mengadakan sembahyang hajat beramai ramai untuk meminta dijauhkan
dari sebarang malapetaka. Pengetua juga menasihati kami supaya tidak
mengingati peristiwa berkenaan. Menurutnya lagi peristiwa berkenaan
hanyalah untuk menguji kesabaran kami. Aku tidak dapat merumuskan
samaada peristiwa berkenaan ada kaitannya dengan kematian pekerja di
tapak binaan.
Tetapi ada
cerita yang mengatakan kematian pekerja berkenaan dirancang oleh
abangnya sendiri dan rohnya ingin menuntut bela. Wallahualam...Bagi aku
peristiwa ini adalah suatu pengalaman yang amat berharga
Kepala Atas Kubur
Masa
kecik-kecik dulu aku selalu ikut abah aku pergi usrah. Kadang-kadang
pergi dekat, kadang-kadang jauh. Sebagai anak yang baik, chewahh, aku
ikut la... dan memang aku sendiri pun suka bonceng motor abah aku
malam-malam. Sejuk berangin je... best. Tau tak usrah tu apa? Bagi
sesiapa yang tak tau, usrah tu macam perjumpaan la. Dalam perjumpaan tu,
macam-macam perkara diperbincangkan, terutamanya berbentuk ilmiah.
Perjumpaan begini sebenarnya menggalakkan pengeratan silaturrahmi sesama
kita selain satu cara menyampaikan ilmu. Itu maksud usrah tu. Usrah tu
sendiri adalah satu perkataan arab yang memberi makna keluarga.
Satu
hari tu, macam biasa, aku ikut abah. Kami tak naik motor. Kerana mak
aku ikut sekali, kami berkereta malam tu. Sebenarnya, sebelum tu kami
pergi Melaka. Saja la jalan-jalan sambil shopping lebih kurang... Dalam
perjalanan kami balik tu, singgah la kat tempat biasa sebab abah aku
memang ada usrah malam tu. Kebetulan pulak, ada banyak kereta yang dah
parking tepi jalan dekat surau tu. Ada satu ruang kosong kat tepi jalan,
sebelah dengan kawasan kubur. Abah aku letak kereta kat situ. Aku dan
mak tak keluar, sebab cuma ada setengah jam je lagi majlis tu nak
bersurai. Kami sampai lewat sebenarnya...
Mak aku suruh kunci
semua pintu kereta. Aku, sebagai anak yang menurut perintah, (huh!),
buat la sebagaimana mak aku suruh. Dah lepas tu, aku pandang ke luar
tingkap sebelah kiri. Ada banyak kubur kat situ. Ustaz aku ajar, kalu
kita berada di kawasan kubur, ucapkanlah salam untuk ahli-ahli kubur tu.
Kerana aku anak yang taat, maka aku pun buat la... "Assalamualaikum ya
ahlal-qubr".
Aku ngan mak kat dalam kereta masing-masing buat hal
sendiri. Mak diam aje kat depan. Aku kat belakang pun tak buat apa,
cuma mata je melilau ke seluruh kawasan kubur tu. Hmmm... banyak pokok
pisang kat situ. Ada buah ke?
Dengan tak semena-mena mata aku
terpaku ke satu kubur berhampiran. Kubur tu terletak lebih kurang 3
meter je dari aku. Aku jadi tak sedap. Apa tu haa...? "Makk...!." Mak
aku tak menyahut. Aku, nak kata takut tu tak jugak sebab aku tak nampak
sepenuhnya benda tu, cuma samar-samar je. Tapi, dalam samar-samar tu
pun, aku masih dapat mengecam. Aku nampak semacam kepala orang sedang
memandang tepat ke arahku! Letaknya di atas kubur, sebelah batu nesan.
"Makk..."
Aku panggil mak, tapi mak diam jugak. Aku dah mula rasa nak nangis,
tapi tak terkeluar. Apa yang aku buat, cuma pandang aje kat kepala tu.
Sekarang memang aku yakin dengan apa yang aku nampak. Kepala tu pulak
seolah-olah senyum kat aku.
Tok! tok! tok!. Aku terkejut tak
terkata. Rupanya abah dah sampai, suruh bukak kunci pintu. Mak aku yang
bukakan, dan aku berpaling semula ke arah kubur tu. Kepala tu masih ada.
"Mak.. Abah.. tengok tu!", sambil aku tunjuk ke kubur tu. Mak abah aku
tengok ke situ. "Apa benda ada kat situ?", tanya abah. "Tak nampak ke?
Ada kepala orang kat situ". Aku berpaling, pandang abah aku. Dia
beriya-iya cari muka orang yang aku kata tu. Mak pun sama. Aku berpaling
semula ke arah kubur tu. Tapi... aikkk! dah hilang! Kepala tu dah tak
ada... macam biskut pulak. Aku tak nampak apa-apa lagi. "Dah hilangla
abah. Tadi ada... betul...". Aku takkan nak bohong abah aku pulak,
sedangkan aku ni memang seorang anak yang baik, yang tak reti langsung
nak berbohong.
"Alaa... takde apa. Saja along nampak je tu. Takde
apa. Along ngantuk tu kot." Abah aku mungkin taknak aku berasa takut,
sebab tu dia cakap gitu. Aku memang tak takut pun...! Tapi itu cuma
cakap kat mulut je la kan... dlm hati, tuhan saja yang tahu.
Bila
dah sampai kat rumah, aku tanya mak, kenapa dia tak menyahut aku
panggil tadi. Mak kata dia tertidur laaa... Alaahai, kesian mak aku. Dia
penat agaknya. Takpela. "Tapi betul ke mak tak nampak kepala tu tadi?".
"Mana ada... takde apa pun. Kubur tu memang la ada...". Entah. Aku diam
je.
Tak lama lepas tu, aku dah lupa sebab apa, aku singgah kat
surau tu waktu zohor. Senyap-senyap, aku pergi semua ke tempat abah
parking kereta hari tu. Aku perhatikan betul-betul. Aku tak nampak
kepala, tapi aku nampak ada huruf nun besar kat kubur tu. Alaa... kan
sesetengah orang ada pasang macam dinding kubur yang warna putih tu...
tapi sekarang dah kurang dah kan. Ada tertulis ayat kat dinding tu,
hujung ayat tu ada huruf nun. Aku dah lupa ayat apa yang tertulis kat
situ. Aku pergi panggil abah, dan tunjukkan kubur tu. Haahahaha... dia
gelakkan. "Kan abah dah kata, takde apa-apa. Along nampak huruf nun tu
je hari tu...". Sebagai anak yang tak melawan mak bapak, aku diam je.
Tapi dalam kepala aku, dah ada jawapan. Kalau aku nampak huruf nun,
macam mana dia boleh naik bertenggek atas kubur? Dah tu senyum kat aku
pulak tu... Nun tu duduknya kat dinding kubur, bukan atas kubur!
Kisah
kepala atas kubur ni berlaku kira-kira 16 tahun yang lalu. Tapi aku tak
boleh lupa sebab aku sendiri yang mengalaminya. Sampai ke hari ni, aku
tak tau apa sebenarnya yang aku nampak tu. Tapi kalau pun betul memang
ada makhluk sebegitu yang aku nampak, aku tak heran. Makhluk halus
memang dicipta. Kuasa Allah tu teramat besar.
Sekarang aku tak
tinggal kat bandar tu lagi. Ikut abah aku pindah. Aku ni kan setia, ikut
abah aku... Tapi sekali-sekala ada jugak aku ke sana. Kali terakhir,
lebih kurang sebulan yang lalu. Secara spontan aku akan terpandangkan
kubur tepi parit tu setiap kali aku lalu jalan tu, walaupun sekarang aku
dah pandu kereta sendiri. Wallahu a'lam.
|
Tidak ada komentar:
Posting Komentar